Walau Pahit Tetap Manis
Lemah kaki melangkah pada hari ini. PENAT. Itulah yang sering bermain di benak, sukar diluahkan. Jam menunjukkan pukul 12 pagi. Masih awal lagi bagiku.Pelbagai tugasan dan amanah terpaksa ku pegang. Setiap hari tiada waktu rehat untukku. Walaupun sekadar melelapkan mata walau hanya 5 minit. Setiap hari,laju saja kaki melangkah ke sana sini untukku langsaikan tanggungjawab yang dipegang.
Inilah kehidupan aku. SIBUK. Tapi ku anggap ini adalah anugerah dari Allah SWT. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana Allah beri aku peluang untuk bekerja di jalan Allah. Biar penat, biar lelah, kerana ku yakin Allah sentiasa bersama di setiap langkah, di setiap hela nafasku, ada Allah yang sering membantu dan menjagaku.
Sudah cukup sebenarnya. Cukuplah nikmat sihat, iman, dan islam yang Allah anugerahkan ini. Ku terfikir, apa gunanya kalau tidak digunakan untuk berkhidmat di jalan Allah.
Sengal-sengal di kaki masih belum hilang. Sakit seluruh badan kerana tidak mendapatkan rehat yang secukupnya. Tetapi Allah masih beri aku kekuatan untuk melakukan kerja dan ibadah. Allah beri aku kefahaman yang luar biasa terhadap pelajaran.
BENAR janji Allah....Sekiranya kita membantu menegakkan agama Islam, bantu membawa panji-panji ISLAM, Allah bantu mempermudahkan urusan kita semua. Allah tidak pernah memungkiri janji. Teringat dengan kalamullah yang banyak memberi motivasi kepada sebuah perjuangan. Allah SWT merakamkan firmanNya yang bermaksud :-
"Jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah menolong kamu dan menetapkan kaki-kaki kamu."
(Surah Muhammad ayat 7)
Dahulu kita melafazkan janji-janji setia, sanggup menghadapi dugaan dan cabaran serta mehnah dalam perjuangan. Tapi hari ini kita sering melafazkan kata-kata keluhan yang tiada penghujungnya.
Mana keyakinan kita pada janji-janji yang kita lafazkan dahulu? Bukankah kita sudah bersedia untuk menghadapi segala mehnah? Bukankah kita sudah tahu jalan-jalan perjuangan sememangnya tidak mudah. Pasti ada kesulitan dan kepayahan kerana memang itulah hakikat perjuangan.
Pahit tetapi manis. Itulah nikmat yang Allah kurniakan pada kita yang tidak dimilki oleh orang lain yang duduk di kerusi mendengar lagu, tidur di katil yang empuk tanpa risaukan umat Islam yang makin ditindas. Tenang dalam setiap kesulitan. Bahagia dalam mengharungi segala kepayahan. Itulah IMAN. Sanggup berkorban walau apa jua rintangan.
Ya. Inilah Iman. Bila kita telah merasai nikmat manisnya iman, tiada lagi halangan yang tidak dapat kita tempuhi. Tiada gunung yang tidak dapat kita daki. Tiada lautan yang tidak dapat kita renangi kerana kita YAKIN dengan Allah Taala. Kita yakin bahawa setiap peluh yang mengalir, setiap darah yang menitis pasti ada ganjaran dari Allah. Usah kita berputus asa namun yakinlah dengan Allah sepenuh tawakkal.
Sungguh perjuangan itu pahit kerana imbalan syurga itu terlalu manis!
- Artikel iluvislam.com
Di Sini Kami Bermula
Kelas ini…
Daerah harmoni usia remajaku,
Lubuk tersembunyinya mutiara
hikmah,
Mula bertatih matlamat kelangit;
Kelas ini…
Wilayah gembira, jajahan
sentosa,
Rajanya temanku,
rakyatnya rakanku,
Terkadangnya ulama'
selalunya keanakan,
Sepasukan tentera membuka
empayar;
Kelas ini…
Kekasih yang menyebarkan
bahagia,
Engganku berpisah dengannya,
Namun, hambatan masa kian
mendekat,
Tiba waktunya nanti, berpisah jua;
Kelas ini…
Kini telah bertukar wajah,
Bibirnya tersenyum hatinya
menangis,
Peperiksaan berakhir bertebaran
semuanya,
Membawa cita menempa dunia;
Kelas ini…
Ia masih di sini,
Ditinggalkan penghuninya,
Yang masih bersisa hanya
kenangan,
Menjadi inspirasi menempuh
hari esok.
Setiap pertemuan menjanjikan perpisahan,
Namun jika ISLAM kekal berpaksi di hati,
Maka perpisahan itu pasti menjanjikan,
Pertemuan kita di SYURGA ILAHI...
Renung Sejenak
Hakikat Diri Ini
Diri ini adalah hamba,
Yang sedang mencari diri,
Diri ini kenal dirinya namun,
Dia ini tidak mengenali dirinya;
Diri ini sering ketawa sedangkan…
Tanpa disedari hatinya sering menangis,
Diri ini sentiasa gembira,
Sedangkan hatinya dibiar berduka;
Diri ini selalu kesunyian,
Walaupun dikelilingi kemeriahan,
Ada ketikanya diri ini berhibur,
Menggembirakan dirinya;
Namun, apabila kesunyian itu melanda…
Diri ini seolah-olah tidakpernah gembira,
Apakah yang diri inicari?
Sahabat susah dan senang?
Adakah sahabat gelarannya,
Andai cuma menjelma tika diri ini senang,
Kemudian menghilang tika diri ini kepayahan,
Meninggalkan diri ini kesunyian;
Ada ketikanya diri ini mempersoalkan dirinnya,
Apakah diri ini insan yang gagal?
Gagal dalam pelajaran? Atau kehidupan?
Jika hendak dinilai luaran,
diri ini cemerlang;
Pencapaian demi
pencapaian telah diri ini capai,
Pujian juga penghargaan?
Saban waktu menyumbat deria pendengaran,
Dinding rumah sahaja penuh dengan sijil yang
megah;
Kini, diri ini mula bosan dengan semua ini,
Bagi diri ini, pujian itu hanyalah halwa,
Dan ketika kesunyian ini melanda kembali…
Pencapaian tadi kian sirna, tidak bermakna;
Diri ini penuh dengan pengisian ilmu,
Namun ia hanyalah membawa kekosongan,
Kerana hakikatnya diri ini…
Sunyi dari hakikat kehambaan.
Saudara Kita Dizalimi
Orang Islam Di Myanmar Diperlakukan Dengan Kejam (Baca dan sebarkan!)
Belum reda keadaan Umat Islam yang dibunuh dengan kejam di Syria. Kini berlaku pula kejadian bunuh dan siksa terhadap penganut Islam Rohingya di Myanmar.
Belum reda keadaan Umat Islam yang dibunuh dengan kejam di Syria. Kini berlaku pula kejadian bunuh dan siksa terhadap penganut Islam Rohingya di Myanmar.
‘Kami meninggalkan Myanmar kerana kami diperlakukan dengan kejam oleh tentera. Umat Islam di sana kalau tidak dibunuh, mereka akan disiksa.’
Begitulah kata-kata seorang penganut islam yang melarikan diri bersama beberapa rakan dari Myanmar dengan menumpang perahu tradisional. Berlayar dengan sedikit bekal. Ditambah pula enjin perahu yang mereka tumpang itu rosak, penganut islam Rohingya menderita di lautan.
Akhirnya mereka ditemui oleh nelayan Aceh dalam keadaan lemah. Menurut cerita, mereka terumbang ambing omabk di lautan selama 20 hari. Mereka ingin pergi ke Indonesia, Malaysia, atau negara lain yang mahu menerima. Demi menyelamatkan diri dan akidah mereka rela kelaparan dan kehausan di tengah lautan.
Sejak 1982, Undang-Undang Kewarganegaraan Burma tidak mengakui Muslim Rohingya sebagai warga negara Myanmar.
Siapakah umat Islam Rohingya?
Umat Islam Rohingya kebanyakannya tinggal di sebelah barat Burma (kini Myanmar) di Negeri Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Parsi, Turki dan lain-lain yang berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan, dan Bengali. Penyebaran Islam di Arakan (dan di sepanjang kawasan pantai selatan Bangladesh) dilakukan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ini.
Kini, umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Arakan, Myanmar dan selebihnya adalah penganut Buddha Arakanese.
Apakah nasib mereka?
Umat Islam Rohingya telah dinafikan daripada hak-hak asasi kemanusiaan dan sentiasa terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia secara konsisten oleh pihak juta tentera Myanmar.
Di antara kekejaman yang dilakukan ke atas mereka :
a) Tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran mahupun sijil perkahwinan mereka.
b) Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayan Arakan
c) Menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti bekerja tanpa gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api, dan bangunan berek tentera.
d) Sekatan makanan sehingga mereka hidup di dalam keadaan kebuluran
e) Sekatan ekonomi, kemudahan kesihatan dan kemudahan asas pendidikan
f) Wanita-wanita dan remaja perempuan mereka dirogol secara beramai-ramai oleh tentera Myanmar
g) Penyembelihan secara beramai-ramai seumpama tragedi 1942 apabila lebih 100,000 orang di kalangan mereka yang telah dibunuh.
h) Pada tahun 1978, seramai 300,000 di kalangan mereka telah dihalau keluar secara massa ke Bangladesh. Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan lain sehingga ramai di kalangan mereka mati kebuluran dan akibat penyakit.
Pada tahun 1991, tentera Burma sekali lagi telah melakukan operasi pembersihan apabila 268,000 di kalangan mereka terpaksa melarikan diri kerana Myanmar ternyata tidak lagi selamat untuk mereka.
Selepas bertahun-tahun melalui siri penderitaan yang panjang dan besar, mereka mula mengambil bot-bot kecil ke laut terbuka dengan harapan untuk mendarat di suatu tempat sebagai pelarian politik, ekonomi dan agama.
Ada di kalangan mereka yang mendarat di Thailand, Malaysia, Indonesia dan sebahagiannya di Australia. Namun kebanyakan mereka telah ditolak mentah-mentah oleh semua negara ini.
Bahkan ramai di kalangan ‘orang bot’ yang mendarat di Thailand telah dihalau semula ke laut dalam bersama sampan mereka yang telah dicabut enjinnya agar mereka terus hanyut terkapai-kapai tanpa hala tuju. Sebahagian daripada mereka terdampar di Malaysia, Indonesia dan Australia tetapi ribuan di kalangan mereka yang telah mati lemas atau kebuluran di tengah laut.
Tiada siapa yang mahukan mereka ! Bahkan negara-negara yang mendakwa mewakili umat Islam juga tidak mahu mereka, sekali gus membuktikan bahawa seolah-olah umat ini ‘tidak ada harga’ kepada mereka.
Umat Islam Rohingya telah memohon diberikan status ‘Pelarian Sementara Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga negara-negara lain bersetuju untuk mengambil mereka buat sementara. Indonesia dikatakan akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk tinggal di Acheh buat sementara.
Sabda Rasulullah
‘“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”
Beberapa saranan :
1. Kerajaan Malaysia seharusnya mengambil inisiatif untuk menjuarai isu umat Islam Rohingya samada di peringkat antarabangsa dengan menyuarakan permasalahan kronik ini di persidangan OIC, PBB, WHO, ASEAN dan sebagainya.
2. Badan-badan kerajaan di peringkat nasional dan negeri seharusnya mengambil tanggung-jawab kerana semakin ramai di kalangan umat Islam Rohingya yang telah mendarat bagi mendapatkan perlindungan di Malaysia. Mereka adalah pendatang yang jauh lebih baik untuk dibantu jika dibandingkan daripada kebanyakan pendatang Afrika yang kerap melakukan kekacauan di sana sini terhadap masyarakat temnpatan mahupun sebahagian daripada pelancung dari beberapa Negara yang terlibat dengan aktiviti pelacuran.
3. NGO dan badan kebajikan yang ada di Malaysia harus mengambil bahagian bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh pelarian Rohingya yang sangat memerlukan bantuan di sudut sosial, ekonomi, kesihatan, pendidikan terutamanya di kalangan anak-anak mereka.
4. Kalau rakyat Malaysia begitu perihatin dan pelbagai NGO telah ditubuh bagi menangani masalah umat antarabangsa seperti Palestin dan lain-lainnya, kenapa kita kita mengagihkan sedikit tenaga dan bantuan kepada saudara seaqidah yang kini terdampar di negara kita sendiri.
5. Orang ramai di Malaysia seharusnya mengambil peluang menunjukkan keperihatinan terhadap isu kemanusiaan yang kronik ini dengan membantu meringankan bebanan kehidupan demi masa depan mereka.
6. Kita juga boleh membantu dengan mendoakan keselamatan dan masa depan mereka serta mengambil tahu perkembangan semasa terhadap keperitan umat yang berpanjangan ini.
Dari Nu’man bin Basyir r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencinta, saling mengasihi dan saling menyayang, bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh tubuh merasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam.”
Hadith riwayat Muslim
Subscribe to:
Posts (Atom)





